Tiap hari TV3 cuba burukkan peserta Bersih 3.0 dan pembangkang sambil menaikkan imej polis. Tuhan Maha Kaya, kini terkantoi bila seorang wartawan arus perdana mendakwa menjadi mangsa serangan polis beramai-ramai hingga patah tulang rusuk.
Dek kerana rasa takut dan kecut menguasai diri, maka Dato Najib dikatakan telah melawat wartawan tersebut sambil meminta maaf. Menteri Dalam Negeri, Hishamuddin Hussien turut tergesa-gesa melawat wartawan berkenaan. Ternyata Najib perlu mengambil tindakan meminta maaf segera bagi mengelakkan sebarang spekulasi terhadap polis. Dijangka kejadian ini akan disorokkan dari siaran TV dan akhbar utama tanahair.
Wartawan dakwa dipukul polis, Najib minta maaf
Wartawan akhbar The Sun, Radzi Razak yang mendakwa dipukul sehingga tujuh orang anggota polis hari ini menerima kunjungan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Menurut Radzi, Najib telah meminta maaf kepadanya atas insidentersebut.
Najib dilihat berbisik kepada Radzi ketika melawat wartawan tersebut di wad Hospital Kuala Lumpur hari ini.
Radzi ketika ditemui mengesahkan bahawa beliau dipukul oleh tujuh anggota berkenaan ketika berada di persimpangan Jalan Raja dan Jalan Tuanku Abdul Razak dalam insiden semalam.
Turut mengunjungi Radzi hari ini ialah Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Seorang wartawan akhbar The Sun dimasukkan ke hospital susulan kecederaan di tulang rusuk dan turut disyaki mengalami kecederaan dalaman ketika membuat liputan perhimpunan BERSIH 3.0 di Kuala Lumpur semalam.
Menurut rakan sekerjanya Alyaa Alhadjri, wartawan berkenaan Radzi Razak kini menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur.
Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Alyaa berkata ujian yang dijalankan ke atas Radzi awal pagi tadi menunjukkan wartawan berkenaan mengalami kecederaan dalaman di bahagian perutnya.
Insiden yang menyebabkan Radzi mengalami kecederaan tersebut setakat ini masih belum dapat dipastikan.
Bagaimanapun menurut wartawan Malaysiakini Zulaikha Zulkifli, sekumpulan besar anggota polis menerpa ke kawasan di mana Radzi sedang berdiri pada kejadian kira-kirajam 5.30 petang.
Radzi dikatakan berdiri di satu sudut di persimpangan Jalan Tun Perak dan Jalan Raja Laut sementara Zulaikha pada ketika itu berada di persimpangan Jalan Tun Perak dan Jalan Raja.
Zulaikha berkata, beliau melihat sekumpulan besar anggota polis berbincang di tengah-tengah persimpangan berkenaan dan kemudiannya menerpa ke satu sudut persimpangan itu.
"Kemudian saya nampak seorang lelaki berbaju putih terbaring dan beberapa orang anggota paramedik memeriksa keadaan lelaki itu," katanya.
Seorang lagi wartawan Malaysiakini Nigel Aw yang tiba di lokasi tersebut melihat Radzi terbaring dan kelihatan "separa sedar (dan) dikelilingi orang ramai."
Satu gambar Radzi menunjukkan beliau berpakaian baju putih dalam keadaan terbaring dan dikelilingi pegawai perubatan.
Beliau dilihat memakai kad pengenalan media.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan