15 Oktober, 2011
YAHYA SULONG DERITA...
Bila baca berita yang tersiar di bawah ini, sedih betul rasanya. Beginilah nasib anak seni. Marilah kita sama-sama bantu Pak Ya!
Pertemuan penulis dengan pelawak veteran, Datuk Yahaya Sulong, 84, bagi tujuan mengimbau kegemilangannya dalam industri seni, bertukar menjadi hiba apabila beliau menceritakan penderitaan dialami sekarang.
“Tolonglah, saya perlukan duit. Setiap bulan, saya harus membelanjakan RM200 untuk mendapatkan bekalan ubat. Saya tak ada duit, macam mana nak beli ubat?,” ujar Pak Ya, sambil menunjukkan dompetnya.
Langsung tidak ada wang, waima seringgit sekalipun. Terkilan benar di hati penulis melihat seniman yang suatu ketika dulu dipuja, kini menderita.
Wajah dan susuk badannya semakin kurus, menggambarkan seniman ini bukan lagi Datuk Yahaya Sulung yang dulu. Seniman yang mesra dipanggil Pak Ya ini, sudah kelihatan uzur sekali.
Langkahnya digagahi dengan bantuan sebatang tongkat dan diatur perlahan. Ternyata pertemuan di sebuah kompleks berdekatan kawasan rumahnya yang terletak di Perumahan Rakyat (PPR) Seri Perak, Bandar Baru Sentul, merungkai seribu masalahnya.
Menurut Pak Ya, beliau bukannya tidak mahu penulis datang ke rumahnya, namun dia malu kerana rumahnya tidak terurus dan lebih selesa bertemu di luar.
“Sejak lima bulan lalu, Karyawan (Persatuan Karyawan Malaysia), sudah tidak bagi duit kerana saya difahamkan Karyawan tiada dana. Dulu, Karyawan bagi saya RM500 setiap bulan.
“Kini saya hanya bergantung kepada elaun polis RM400 sebulan untuk menanggung keperluan seperti bayar sewa rumah, belanja makan minum dan juga ubat.
“Isteri (Datin Alisah Ali), pula tidak bekerja. Dia juga sering sakit-sakit sejak kebelakangan ini. Jadi, saya sudah tidak tahu dari mana hendak mendapatkan duit bagi menyara kehidupan kami,” katanya dengan suara terketar-ketar.
Pak Ya sedang berperang dengan asma dan masalah jantung dideritai sejak setahun lalu, memberitahu, bekalan ubatnya sudah enam hari kehabisan dan sering menghadapi kesakitan sehingga tidurnya turut terganggu. Pak Ya, acap kali meminta bantuan daripada penulis.
“Bagilah saya duit sikit. Dapat beli ubat pun jadilah,” rintih Pak Ya.
Hati mana yang dapat mendengar rintihan seperti itu? Sesekali matanya bergenang. Namun setakat manalah yang mampu penulis bantu?
Datuk pada nama...
Berdasarkan gelaran Datuk yang diterima, siapa sangka kehidupan Pak Ya sedaif ini. Bukan sekadar omongan kosong, Pak Ya turut menunjukkan bukti menerusi buku bank simpanannya yang hanya berbaki RM14.
“Saya dah tak ingat bila saya dapat gelaran itu, dah lama dah. Masa itu, saya menerima wang tunai RM7,000 dan hanya itu yang saya dapat,” katanya yang menerima gelaran itu daripada Raja Perlis.
Terpinggir?
Bukannya mahu menimbulkan aib sesiapa, namun penulis tertanya-tanya, di manakah mereka yang seharusnya bertindak sebagai pelindung beliau. Di usia begini, tidak wajar seorang bapa mengharapkan belas kasihan orang lain sedangkan anak-anak sepatutnya memainkan peranan paling utama.
“Anak saya ramai. Dengan isteri pertama ada empat orang. Malah saya juga ada anak bersama isteri kedua dan ketiga.
“Bila hari raya, saya telefon mereka dan minta maaf pada mereka, lepas tu mereka tanya saya, bila nak datang rumah.
“Duit belanja, sekali-sekala, ada yang hulur. Itu pun RM15-RM20,” ujarnya sedih.
Bukan mahu mengungkit, namun Pak Ya benar-benar terkilan apabila orang yang sepatutnya menolongnya di masa susah tidak mempedulikannya. Apatah lagi di usianya begini. Mana tahu, bila-bila saja Tuhan akan menjemputnya kembali.
“Dulu masa saya jadi polis, gaji hanya RM400. Tapi boleh tanggung anak-anak. Pernah saya ikat perut, semata-mata untuk beli televisyen kerana tak sampai hati melihat mereka bertenggek di pintu rumah jiran.
Sesekali, penulis terfikir, apakah benar cerita Pak Ya? Emosi penulis benar-benar terganggu ketika pulang bertemu Pak Ya. Jika benarlah apa yang diceritakan, sungguh derita hidup Pak Ya...
Barangkali sesiapa yang berkemampuan hendak membantu Pak Ya. Ketika beliau masih hiduplah, kita boleh membantu dan menggembirakannya. Kalau sudah tiada, tidak guna jasanya dikenang setinggi gunung sekalipun.
Bantuan kepada Pak Ya boleh dihantar melalui akuan Bank Simpanan Nasional, 1411429830023567.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
wahai anak2 pak ya (yg masih hidup)...
BalasPadamsesungguhnya kamulah yg bertanggungjawab memelihara ayahanda kamu...
jika ada sekelumit duka dan setitik nestapa serta secalit kecewa, anda semua lupakanlah...
bersama2lah kamu dg adik beradik utk membantu ayahanda kamu sebelum ajalnya tiba....
hiburkanlah dia dalam meneruskan sisa2 hidup dg gembira... kamu sahajalah yg berhak membantunya kerana kamu datang dari "tetes air maninya"(*)
(*) maaf!! inilah perkataan yg sesuai barangkali
InsyaAllah selagi termampu...saya akan bantu insan yang telah berjasa menceriakan kita selama ini..Terima kasih Dato'
BalasPadampada anak2 pak ya...jaga lah bapa kamu tu sementara dia masih ada lagi...klu kamu abaikan ayah kamu, nescaya apabila anda tua nti, anak2 kamu pula akan buat benda yg sama pada kamu...
BalasPadam