Waris, penduduk kampung anggap Mat Indera penentang penjajah
KUALA LUMPUR: Ketua Cabang KEADILAN Rembau, Badrul Hisham Shaharin menyifatkan Mat Indera sebagai tokoh yang berjaya menyatu-padukan pihak-pihak yang menentang penjajah British dan bukan pengkhianat negara.
Beliau membuat rumusan itu berdasarkan temubual bersama adik Mat Indera dan penduduk kampung berdekatan Bukit Kepong dalam siri jelajah menjejaki Mat Indera anjuran Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM).
“Mat Indera penyatu semua kelompok gerakan penentang penjajah British yang mengangkat senjata menentang mereka. Malah, beliau juga tidak ada sangkut-paut dengan komunis,” kata Badrul atau dikenali CheguBard yang juga Pengerusi SAMM.
Menurutnya, berdasarkan temubual dengan adik bongsu Mat Indera iaitu Johan bin Indera atau lebih dikenali sebagai Pak Johan di Yong Peng, Mat Indera adalah seorang pemimpin keluarga yang memikul tanggungjawab menjaga adik-beradiknya selepas kematian ibu mereka.
“Mat Indera tokoh agama yang mengambil tanggungjawab menjaga adik-beradiknya dan memastikan mereka menjaga sembahyang dan pandai mengaji,” kata Chegu Bard.
Menurut Badrul, Pak Johan turut menceritakan bahawa Mat Indera pernah menegur ayahnya yang meminta air doa dari seorang kiyai di Johor untuk digantung di dalam rumah bagi mengelakkan serangan Jepun.
“Beliau menegur ayahnya dan berpesan,”Kalau kita takut dengan manusia, kita bukan gantung tangkal. Kita gantung hati kita dengan Allah Taala”, ” kata Chegu Bard.
Mat Indera juga sebenarnya adalah seorang guru agama tempatan yang pernah berguru dengan Haji Yassin, ayah kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Malah, Mat Indera sendiri mengajar agama tanpa mengambil sebarang upah.
“Beliau tidak cari makan dengan belajar agama. Beliau kerja di pelabuhan kecil di Muar menyelia pengagihan beras,” kata Chegu Bard.
Lebih menyedihkan, kata Chegu Bard, sejarah bukan sahaja tidak mengiktiraf perjuangan Mat Indera, malah turut memadamkan kezaliman yang dilakukan British ke atas keluarganya.
“Pak Johan dan ayah Mat Indera dibuang daerah ketika British memburu Mat Indera,” kata Chegu Bard.
Sejarah perjuangan Mat Indera menentang British menarik perhatian ramai apabila media perdana berulang-kali menayangkan video ceramah Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang mengiktiraf perjuangan Mat Indera.
Namun, ia diputar belit media perdana yang menyokong Umno BN dengan mendakwa Mohamad Sabu menyokong perjuangan komunis.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan